Selamat Datang ke Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020
Wawasan Kuala Lumpur Sebuah Bandar Raya Bertaraf Dunia
“Menjelang tahun 2020, Bandar Raya Kuala Lumpur akan mengalami perubahan-perubahan yang positif kepada persekitaran fizikal akan dilaksanakan tanpa menjejaskan ekologi dan alam sekitar setempat. Ini termasuklah memastikan penyedia an persekitaran yang menarik dan sejahtera kepada penduduk, pelabur dan pelawat.”
Wawasan Kuala Lumpur sebagai ‘Sebuah Bandar Raya Bertaraf Dunia’ merangkumi aspirasi untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang memainkan peranan global dan sub global yang utama bagi kepentingan masyarakat setempat, pekerja, pelawat dan juga pelabur. Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL 2020) menekankan wawasan dan matlamat ke arah mewujudkan bandar raya Kuala Lumpur yang mampan. Oleh itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan perancangan yang dijalankan hendaklah mencapai keseimbangan antara pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Draf Pelan Bandar Raya KL 2020 merupakan strategi perancangan dan pembangunan yang utama bagi Kuala Lumpur.Pelan ini akan menjadi panduan kepada pembuat keputusan, perancang bandar, pereka bentuk dan pemaju hartanah ke arah pertumbuhan Kuala Lumpur seterusnya ke arah pencapaian status sebuah Bandar Raya Bertaraf Dunia.


